Thursday, 8 November 2012

SYUKUR & REDHA

Bismillahirrahmanirrahim.

Seperkara yang aku belajar pada hari ini, dan ianya merupakan perkara yang aku belajar berulang-ulang iaitu mensyukuri dan redha dengan segala pemberian Allah kepadaku sehingga ke saat ini.

Mengapa aku katakan apa yang aku belajar pada hari ini merupakan perkara yang berulang-ulang? Kerana aku manusia yang lemah, dan lupa. Walaupun di satu detik dulu aku berjaya menyingkap hikmah di sebalik apa yang berlaku serta aku boleh mensyukuri dan redha dengan perkara tersebut, tetapi perasaan itu tak mampu aku pertahankan setiap hari. Sukar rasanya untuk sentiasa bersyukur dan redha.

Mengapa ujian yang datang hanya sekali-sekala mampu membuatkan diri ini rasa tertekan? Walhal setiap hari kurniaan Allah itu amat amatlah banyak. Bila 1 ujian menimpa, terasa nikmat yang lain seolah tiada. Yang nampak di depan mata hanyalah kesusahan tersebut. Tika iman melemah, maka mengeluh. Langsung lupa pada nikmat2Nya yang banyak.

Ya Allah, sungguhlah Maha Agung dan Maha Kuasa Engkau yang menciptakan manusia dengan pelbagai latar belakang, budaya, warna kulit agar saling berkenal-kenalan. Selain berkenal-kenalan, hikmah di sebalik itu adalah kita akan beroleh ilmu daripada orang di sekeliling kita yang mempunyai cerita mereka yang tersendiri. Kadangkala aku rasa di satu masa aku diuji dengan satu perasaan yang aku tak suka, atau satu keadaan yang aku tak suka. Kadangkala aku tak nampak jalan keluar untuk menyelesaikan masalah tersebut. Akan tetapi apabila aku bertemu dengan manusia2 lain contohnya pada hari ini, aku kembali merasa bersyukur dan redha dengan apa yang diujiNya pada diriku.

Oh...rupanya ada juga orang yang diuji lebih kurang sama macam diriku. Oh rupanya ujian orang tu lebih teruk berbanding diriku. Tabahnya orang tu, ujian dia lagi dahsyat tapi masih mampu tersenyum.

Dalam situasi beginilah sebagai contoh, rasa syukur dan redha akan kembali semula. Muhasabah semula diri, katakan pada diri bukan aku seorang saja yang diuji.

Allahu Allah... di saat2 beginilah teruji keyakinan aku kepada ayat2 al-quran yang menyatakan apakah manusia itu dibiarkan mengatakan diri mereka beriman sedangkan mereka tidak diuji?
Ayat al-Quran yang lain pula berkenaan boleh jadi kita menyukai sesuatu tetapi ianya tidak baik untuk kita, dan boleh jadi kita membenci sesuatu tetapi ianya baik untuk kita.

Apa-apa yang Allah bagi kat kita sebenarnya itulah yang terbaik untuk diri kita pada masa itu. Oh Allah, sungguh sukar rasanya untuk sentiasa bersyukur dan redha terhadap segala pemberianMu. Bantulah aku ya Allah untuk melihat segala yang Engkau beri dari sudut pandang diriMu, bukan dari sudut pandanganku.
Kerana sebagai pencipta sudah tentu segala yang Engkau beri adalah yang terbaik untuk makhlukMu ini. Walhal aku hanyalah makhlukmu yang sebenarnya tak layak untuk mempertikaikan segala pemberianMu terhadapku. Bantulah aku untuk menjadi hambaMu yang sentiasa bersyukur dan redha terhadapMu, ya Allah... Amin ya rabb.